International Medical School (IMS)
Management and Science University (MSU) melalui International Medical School (IMS) di Bangalore, India bermatlamat menjana ramai pakar perubatan untuk membantu kerajaan mencapai matlamat meningkatkan pembangunan modal insan dalam bidang berkenaan. IMS di Bangalore menawarkan program Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) merupakan kampus pesisir antarabangsa pertama ditubuhkan MSU kearah mengantarabangsakan pendidikan Malaysia di arena global.
IMS ditubuhkan hasil kerjasama MSU dengan Gokula Education Foundation, sebuah yayasan yang berlokasi di Bangalore, India serta mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan lebih daripada 20 tahun.
Bangalore menjadi pilihan MSU untuk menubuhkan sekolah perubatannya kerana bandar raya ini mewarisi kekayaan India dari segi kepakaran dalam bidang pendidikan perubatan serta teknologi maklumat.
Pelajar yang mengikuti pengajian perubatan di IMS turut berpeluang mengikuti latihan serta mendapat pendedahan terbaik dalam bidang perubatan di MS Ramaiah Memorial Teaching Hospital dan Baptist Hospital yang dilengkapi dengan peralatan canggih dan diperakui kebanyakan majlis perubatan dunia.
IMS yang menerima kelulusan penubuhannya daripada Malaysia Medical Council (MMC) sentiasa menitik beratkan kualiti pendidikan yang dijalankannya serta menggunakan kurikulum yang dipersetujui majlis perubatan berkenaan serta majlis perubatan negara lain. MSU yakin dapat memberi sumbangan besar dan bermakna dalam membantu negara mencapai sasaran nisbah seorang doktor untuk setiap 600 penduduk menjelang 2020 kelak.
Program MBBS di IMS mengambil masa lima setengah tahun. Selepas tamat pengajian, pelajar perlu mendaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan akan ditempatkan di hospital awam diseluruh Malaysia dibawah pengawasan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memenuhi tuntutan housemanship selama dua tahun.
Pengambilan pelajar baru program MBBS di IMS dibuat pada bulan September setiap tahun dan terhad kepada 150 pelajar. Program ini dibuka kepada pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, Foundation MSU, diploma, A-Level dan matrikulasi.
Pelajar yang berminat mengikuti program MBBS wajib mendapat keputusan cemerlang dan calon yang berkelayakan perlu menduduki “Medical Entrance Test” (MET) di MSU.